dari milist tetangga,
berita mengharukan dan membanggakan:
CN235 kemegahan 21 Skuadron TUDM
Oleh: HAMDEN RAMLI
SEJAK memulakan perkhidmatan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tujuh tahun lalu, pesawat pengangkut sederhana CN235 buatan Indonesia telah membuktikan keupayaan dalam melaksanakan pelbagai tugas.
Lebih dikenali sebagai pesawat taktikal jarak sederhana (PTJS), CN235 yang dioperasikan oleh No. 21 Skuadron, yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang jelas mempunyai keunikan tersendiri sebagai sebuah pesawat pengangkut ringan.
Malah, keupayaan pesawat tersebut telah mendapat pujian Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Nik Ismail Nik Mohamed yang ternyata puas hati dengan kemampuannya.
“Ia tidak menimbulkan masalah selepas digunakan sejak 1999 walaupun setelah melalui penerbangan 4,000 jam atau 50 hingga 60 jam sebulan,” kata Nik Ismail selepas menyaksikan penyerahan pesawat terakhir CN235 daripada versi kegunaan orang kenamaan (VIP) di pusat pemasangan pesawat pengangkut berkenaan di Bandung, Indonesia, Februari lalu.
Keyakinan itu dikongsi bersama oleh Pegawai Memerintah No. 21 Skuadron, Leftenan Kolonel Chua Boon Seong yang berkata, walaupun kecil dari segi saiznya, tetapi CN235 berkemampuan melaksanakan pelbagai tugas taktikal.
Beliau berkata, antara operasi utama yang dikendalikan oleh No. 21 Skuadron menggunakan pesawat berkenaan adalah terjunan Para melibatkan pasukan khusus seperti gerup gerak Khas (GGK) dan 10 Briged Para.
Ini termasuk terjunan statik dan bebas pada ketinggian tinggi.
Pada masa ini pesawat tersebut turut menyertai operasi pemantauan terkoordinasi Selat Melaka dari udara dikenali Eyes In The Sky (EiS) yang dilakukan secara bergilir-gilir dengan skuadron C130.
“CN235 juga digunakan untuk penghantaran askar seperti Ops Pasir selain penerbangan ehsan melibatkan situasi hidup dan mati pesakit.
“Hal ini berlaku jika hospital di negeri-negeri tidak ada kepakaran dan pesakit perlu dihantar segera ke hospital di bandar menggunakan pengangkutan udara,” katanya.
Beliau menambah, pesawat yang boleh memuatkan 18 pengusung secara bertingkat itu boleh ditukarkan menjadi ‘ambulans terbang’ dan peranan tersebut telah dilakukan ketika Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Ketibaan dua pesawat baru C235 versi VIP sejak akhir tahun lalu telah memperluaskan skop tugas No. 21 Skuadron.
“Kami turut terlibat dalam menjayakan misi bantuan kemanusiaan di Aceh di mana peranan kami sebagai platform menghantar bantuan makanan dan ubat ke kawasan pedalaman yang tidak mempunyai landasan sempurna.
“Keistimewaan pesawat ini ialah ia boleh mendarat di landasan pendek,” katanya.
Bercerita mengenai skuadron itu, Boon Seong berkata, ia diwujudkan menggantikan skuadron Caribou yang ditamatkan perkhidmatannya.
Pada 1998, keputusan dibuat untuk membeli enam pesawat CN235 dan setahun selepas itu, kesemua enam pesawat berkenaan tiba ke tanah air lengkap dengan kumpulan sokongan daripada juruterbang sehingga kepada juruteknik pesawat.
Mengenai skuadron tersebut, Boon Seong berkata, selain operasi No. 21 Skuadron bertanggungjawab mengendalikan latihan peralihan juruterbang pesawat pengangkut dan tugas tersebut dilaksanakan di Pangkalan Udara Kuching.
“Detasemen di Kuching lebih banyak menjalankan tugas latihan, bukan sahaja peralihan juruterbang tetapi termasuk latihan krew, pramugari dan kuatermaster udara,” katanya.
Beliau menambah, pusat latihan tersebut kini dilengkapi simulator CN 235 yang boleh meniru aksi, suasana serta persekitaran yang sama seperti di dalam pesawat sebenar.
Kehadiran simulator berkenaan mampu meningkatkan proses pembelajaran kerana banyak latihan yang sebelum ini tidak boleh dilakukan dengan pesawat sedia ada seperti menangani situasi kecemasan pesawat dapat dilakukan menggunakan simulator berkenaan.
Kelebihan lain ialah ia dapat mengurangkan penggunaan pesawat sebenar, sekali gus menjadikan jangka hayat pesawat tersebut dapat dipanjangkan.
Kecanggihan sistem avionik serta navigasi pula menjadikan ia satu platform sempurna dalam menyediakan asas yang diperlukan oleh juruterbang pesawat pengangkut.
Menurut Boon Seong, dari sudut penyenggaraan pesawat, skuadron itu tidak bergantung kepada kontraktor atau agensi luar kerana ia memiliki keupayaan untuk melakukannya.
“Juruteknik TUDM dihantar menghadiri kursus khas di Bandung, Indonesia. Kursus berasaskan komputer turut diadakan dari masa ke masa bagi menguji kompetensi setiap juruteknik kami,” katanya.
Mengenai masa depan, skuadron berkenaan merancang untuk menganjurkan kursus jurumalim dan kerja pemasangan konsol untuk latihan jurumalim pesawat CN235.
Selain itu, No. 21 skuadron, kata Boon Seong, akan memperluaskan kepakaran dalam bidang hantaran udara berasaskan kepada sistem penghantaran kontena.
“Ini bidang baru dan kita berhasrat untuk menguasainya,” katanya.
Fakta CN235
*Pesawat taktikal jarak sederhana.
*Berupaya terbang sehingga sembilan jam atau 1,800 batu nautika.
*Berupaya terbang sehingga pada 25,000 kaki atau pada ketinggian biasa 18,000 kaki.
*Berupaya berlepas dan mendarat di landasan pendek 1,000 meter.
*Boleh beroperasi dalam semua keadaan cuaca dan malam.
*Berperanan sebagai saling menyokong dengan C130.
*Kos operasi empat kali lebih rendah berbanding C130.
SEBAHAGIAN warga No. 21 Skuadron di hadapan pesawat CN235 kebanggaan mereka.